Pelaksanaan Model ASSURE dalam PdP (EDUP3053)

1.0 Pelaksanaan Model ASSURE dalam PdP
 1.1 Pengenalan

Pemilihan model reka bentuk pengajaran yang baik dapat menjamin pencapaian objektif pembelajaran. Pengkaji telah memilih model reka bentuk pengajaran ASSURE untuk diimplimentasikan ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Model ASSURE merupakan model reka bentuk pengajaran yang berasaskan bilik darjah yang telah diasaskan oleh Heinich (1982, seperti yang dinyatakan dalam Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Wan Kamaruddin Wan Hassan, 2009 ). Pandangan Gagne (1985, seperti yang dinyatakan dalam Noriati A. Rashid et al, 2009) menyatakan bahawa pembelajaran berlaku sebagai satu proses yang berkembang secara berperingkat selaras dengan model ASSURE yang melalui beberapa proses penyampaian pengajaran.

Model ASSURE merangkumi enam langkah, iaitu menganalisis ciri pelajar, menyatakan objektif pengajaran-pembelajaran, memilih media dan bahan pengajaran-pembelajaran, menggunakan media dan bahan pengajaran-pembelajaran, melibatkan pelajar dalam proses pembelajaran, dan menilai serta menyemak semula keberkesanan penggunaan media dan bahan pengajaran-pembelajaran. 

1.2 Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Bilik Darjah

1.2.1 Analisis pelajar

Dalam model ASSURE, analisis pelajar diutamakan kerana langkah ini dapat membantu guru untuk memilih pendekatan yang sesuai dalam memastikan hasil pembelajaran tercapai. Analisis pelajar merangkumi ciri-ciri umum pelajar, iaitu jantina, umur, aliran kelas, latar belakang keluarga, budaya dan sebagainya. Untuk mengetahui ciri-ciri ini, guru haruslah meneliti rekod pelajar dan berinteraksi secara langsung dengan pelajar. Tambahan, guru hendaklah menganalisis pelajar dari aspek pengetahuan atau pengalaman sedia ada serta gaya pembelajaran mereka. Jika seseorang pelajar kurang meminati subjek Matematik, guru boleh merangsang pembelajaran pelajar tersebut melalui aktiviti visualisasi dan kinestetik, iaitu dengan mengaplikasikan pembelajaran matematik ke dalam kehidupan sebenar serta melalui video pendidikan. 

1.2.2 Nyatakan objektif atau hasil pembelajaran

Seterusnya, model ASSURE ini menekankan kepentingan pernyataan objektif atau hasil pembelajaran di dalam bilik darjah. Objektif pembelajaran bukan bertujuan untuk menyekat pengetahuan pelajar, namun merupakan tahap pencapaian minimum pelajar daripada pengajaran yang dijalankan. Pernyataan objektif yang baik mengandungi kriteria kumpulan sasaran, bentuk perlakuan baharu, syarat perlakuan dan standard pencapaian pelajar. Sebagai contoh objektif pembelajaran, pelajar aliran sains tulen akan dapat menyatakan sekurang-kurangnya dua nama bahan kimia untuk menghasilkan ais kering. Malahan, pernyataan objektif yang eksplisit juga dapat membantu guru dalam asas penilaian dan jangkaan pencapaian pembelajaran pelajar.  

1.2.3 Pemilihan kaedah, media dan bahan sumber

Selain itu, kaedah pengajaran yang digunakan haruslah sesuai dan berkait rapat dengan objektif pembelajaran. Penentuan kaedah hendaklah berasaskan ciri-ciri pelajar, pengalaman sedia ada, gaya pembelajaran serta objektif pembelajaran. Pemilihan media pula harus bersesuaian dengan kaedah yang dipilih dan keperluan penggunaannya dalam pengajaran seperti menggunakan media sedia ada, mengubah suai atau merekabentuk media yang telah ditetapkan. Hal ini disebabkan Model ASSURE menggalakkan para guru sentiasa menggunakan pelbagai media pengajaran untuk memastikan sesi pengajaran berjalan dengan lebih lancar dan menarik. Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar tidak akan mengantuk atau berasa bosan semasa pengajaran dijalankan. Sebaliknya, mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika guru sedang mengajar dan lebih memahami pengetahuan baru yang ingin disampaikan. 

1.2.4 Penggunaan media dan bahan sumber

Tambahan, model ini telah menerapkan elemen Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) yang bertukar fokus pembelajaran daripada strategi berpusatkan guru kepada strategi berpusatkan pelajar. Hal ini telah menjadikan penggunaan media dan bahan sumber oleh pelajar lebih utama berbanding media penyampaian guru. Terdapat beberapa tindakan perlu dilakukan oleh guru bagi memastikan penggunaan media yang baik. Antaranya ialah pratonton bahan sumber, menyediakan bahan, menyediakan persekitaran, menyediakan pelajar dan menyediakan pengalaman pembelajaran. Seiring dengan kemajuan yang kian pesat ini, penerapan teknologi ke dalam pendidikan amat diperlukan dan divariasikan seperti penghasilan video pendidikan, permainan multimedia pendidikan dan media pengajaran yang dapat memberi manfaat kepada pelajar.

1.2.5 Penglibatan pelajar

Bukan itu sahaja, model ini menitikberatkan penglibatan pelajar. Guru harus memastikan segala strategi dan aktiviti pengajaran dirancang bagi penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti pembelajaran seperti perbincangan, kuiz dan projek. “Keberkesanan PAK-21 bukan bergantung pada prasarana dan susun atur bilik darjah, sebaliknya aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan pelajar” (Datuk P. Kamalanathan, 2017, seperti yang dinyatakan dalam Farhana Joni, 2017)  Oleh itu, guru sebagai pemangkin motivasi akan merekabentuk suatu pengajaran yang dapat menarik perhatian pelajar serta memberikan peneguhan positif sebaik sahaja pelajar menunjukkan sesuatu kejayaan.

1.2.6 Penilaian dan semak semula

Penilaian seringkali disalahertikan sebagai menilai pencapaian pelajar melalui lembaran kerja atau peperiksaan sahaja. Oleh hal yang demikian, di dalam model ini, aspek penilaian diberi penekanan sepanjang proses PdP berlangsung untuk memastikan pemilihan objektif, kaedah, media dan bahan sumber yang sesuai digunakan mengikut keupayaan pelajar. Penilaian melibatkan aspek menilai pencapaian pelajar, pembelajaran yang dihasilkan, kualiti media dan prestasi pelajar. Bagi menampakkan keberkesanan rancangan pengajaran yang dibuat, penilaian perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran dengan melibatkan aspek pencapaian pelajar dan hasil pembelajaran sama ada secara formal ataupun informal.

1.3 Kesimpulan


Kesimpulannya, model ASSURE dipilih kerana ia mengandungi elemen-elemen penting yang boleh dijadikan sebagai satu panduan untuk merancang pengajaran agar matlamat pengajaran tersebut dapat dicapai. Tambahan, melalui model ASSURE ini, aspek penilaian dititikberatkan dan dijalankan sepanjang sesi PdP. Oleh itu, guru akan lebih mudah untuk mengetahui tahap pencapaian dan penglibatan pelajar-pelajar dan akan menggunakan kaedah tertentu untuk menarik minat pelajar untuk belajar.

Comments

Popular posts from this blog

Implikasi hubungan positif guru dengan murid (EDUP3043)

RPH Pendidikan Kesihatan Tahun 5