Implikasi hubungan positif guru dengan murid (EDUP3043)

1.1 Pengenalan

Menurut Wentzel (2009, seperti yang dinyatakan dalam Ahmad Firdaus Mohd Noor, Kamarul Azmi Jasmi & Khairunnisa A. Shukor, 2016), guru yang berkesan adalah guru yang dapat membina hubungan baik dengan pelajarnya dari segi emosi yang intim, selamat dan boleh dipercayai. Hubungan yang berkualiti mampu menyokong perkembangan emosi pelajar dengan baik, membina sikap positif dan bermotivasi dalam mencapai hasil akademik yang cemerlang.

1.2 Implikasi hubungan guru-murid

1.2.1 Implikasi penampilan dan bahasa badan guru

Menurut Lela Virginia Watson (1950) kerajaan boleh menyediakan bangunan sekolah, bahan-bahan keperluan kelas dan latihan perguruan, namun kesannya kepada murid ditentukan oleh personaliti seorang guru. Penampilan dan bahasa badan guru menghasilkan pelbagai persepsi kepada murid-murid termasuklah kesediaan guru untuk mengajar. Melalui penampilan guru yang beretika, murid akan menghormati guru dan meningkatkan suasana pembelajaran di dalam bilik darjah. Mohd Khairuddin Abdullah, Khalid Johari,  Ag Yusof Ag Chuchu & Halimah Laji (2014) menyatakan kajian pakar-pakar psikologi menunjukkan sifat semulajadi guru, penampilan, rupa paras, gerak-geri dan air muka memainkan peranan penting bagi meningkatkan daya pengaruh seseorang. Oleh itu, guru perlu memastikan murid menggemari penampilan mereka kerana penampilan guru mencerminkan sikap terhadap dirinya sendiri, muridnya dan tugas yang dijalankan sebagai warga pendidik.

1.2.2 Implikasi perilaku guru

Hasil kajian Teven (2007, seperti yang dinyatakan dalam Nor Shafrin Ahmad, Fadzilah Amzah & Rahimi Che Aman, 2009) mendapati bahawa perilaku yang bersesuaian serta komunikasi yang mengambil berat terhadap pelajar, turut menyumbang kepada kepercayaan terhadap guru serta dapat menghasilkan keputusan yang baik dalam subjek tersebut. Guru yang mudah mesra dengan murid akan dapat memenangi hati muridnya dan dijadikan sebagai guru yang disayangi dan disukai. Kemesraan dan keprihatinan guru terhadap murid ini sekaligus dapat menjadikan murid merasakan diri mereka disayangi dan menimbulkan perasaan sayang akan sekolah. Kajian Azizah, (2000, seperti yang dinyatakan dalam Mohd Khairuddin Abdullah et. al, 2014) berpendapat bahawa hubungan mesra di antara remaja dengan sekolah berperanan untuk meningkatkan perasaan kepunyaan dan membantu mengurangkan disiplin.  Sebaliknya, perilaku guru yang negatif akan menimbulkan ketakutan pada murid untuk menyuarakan pendapat dan jawapan sekaligus mengandaikan bahawa perlakuan tersebut diterima di dalam kelas. Hal ini menunjukkan penggunaan kaedah komunikasi yang berkesan dan perilaku guru adalah perlu dalam memastikan pengajaran tercapai dengan berlakunya perubahan pencapaian ataupun perubahan prestasi kepada murid terutamanya semasa berada di dalam bilik darjah.

1.2.3 Implikasi menjadi suri teladan yang baik

Murid seringkali meniru perlakuan guru di dalam kelas kerana menganggap guru sebagai orang dewasa sepatutnya menunjukkan contoh yang baik. Keperibadian seorang guru yang luhur akan memberikan teladan yang baik terhadap murid-murid sehingga guru akan tampil sebagai seseorang yang mesti dipatuhi dan dicontohi. Guru boleh menyelami kehidupan murid-murid seperti makan bersama di kantin sekolah dan menziarahi murid yang sakit di rumah atau hospital. Oleh itu, guru-guru akan berhubung dengan murid secara profesional dengan berkongsi pengalaman semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta memahami setiap masalah muridnya secara peribadi. Natijahnya, murid-murid akan memberi kepercayaan kepada guru untuk meluahkan masalah mereka dalam pembelajaran.   

1.2.4 Implikasi persekitaran pembelajaran bilik darjah

Bukan itu sahaja, persekitaran pembelajaran yang ceria dan harmoni dapat meningkatkan semangat murid untuk menghayati pelajaran, memperoleh pengetahuan yang baru sekaligus aktiviti PdP dapat berjalan dengan lebih berkesan. Persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah tempat pelajar dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pelajaran. Pelajar akan berminat mengikuti proses PdP yang disampaikan tanpa gangguan dan halangan. Guru dan murid boleh bekerjasama dalam menghias kelas melalui susunan meja yang teratur, papan kenyataan yang padat dengan maklumat terkini dan penggunaan pelbagai media pengajaran interaktif. Melalui hubungan kerjasama yang wujud antara guru-murid itu, guru dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid-muridnya serta dapat memberikan peneguhan yang sesuai selaras dengan perilaku yang ditunjukkan oleh mereka.

1.2.5 Implikasi sokongan guru

Seterusnya, dalam kajian Adena M. Klem dan James P. Connell (2004) menunjukkan bahawa sokongan guru amat penting dalam penglibatan pelajar. Murid-murid perlu merasakan bahawa mereka boleh membuat keputusan penting untuk diri mereka sendiri dan setiap aktiviti berkaitan dengan kehidupan mereka. Hal ini demikian kerana, murid-murid yang menganggap guru sebagai pencetus suasana pembelajaran yang jelas dan adil dapat menimbulkan suasana pembelajaran yang ceria. Malahan perkara ini akan berlaku dengan cara guru mengambil berat perkembangan akademik setiap pelajarnya bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka. Wentzel , K.R (2009 seperti yang dinyatakan dalam Mohd Khairuddin Abdullah et. al, 2014) menyatakan hal ini akan memberikan hasil perasaan emosi yang selamat ketika menjalinkan hubungan sosial dengan orang lain. Maka, semua ini akan memberikan satu motivasi kepada pelajar untuk lebih berusaha memperbanyakkan perilaku positif kerana mempunyai hubungan yang erat dengan guru mereka.

1.3 Kesimpulan

Hubungan guru-murid akan memberikan implikasi bukan sahaja kepada kelancaran PdP malahan dari aspek pengurusan bilik darjah tersebut. Berdasarkan Kamarul Azmi Jasmi, 2010 dan Esah Sulaiman, 2012 (seperti yang dinyatakan dalam Ahmad Firdaus Mohd Noor et. al, 2016), guru bukan sekadar pembina kemahiran, guru juga mempunyai tugas yang lebih besar dalam membentuk akhlak pelajar yang mulia. Oleh itu, hubungan guru-murid merupakan media yang paling efektif dalam pembentukan modal insan yang seimbang selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.





Comments

Popular posts from this blog

Pelaksanaan Model ASSURE dalam PdP (EDUP3053)